Tajdid Niat

Tulislah perkara yang baik-baik, InshaaALLAH orang lain akan dapat manfaatnya.

Monday, October 14, 2013

Cerpen : Dimana perjuangan?

Latihan palapes pada hari pertama agak penat. Seluruh badan agak sakit. Latihan fizikal pada waktu pagi begitu menyakitkan. Seluruh urat sendi bagai menyapa sakit berpanjangan selama beberapa hari. Namun, serasa malam masih muda. Meskipun agak penat, seharian keadaan aktiviti cukup ingin merebahkan diri di atas empuknya katil berehat, namun terfikir pula akan jawapan apa untuk Ilahi. Sedangkan masih sempat dia menyertai Usrah. Ya, seminggu cuma dua kali tersisa untuk masanya berbulatan gembira. Lalu dikuatkan hati dan tenaga untuk tidak pulang segera sebaliknya menapakkan kaki untuk ke surau. Tatkala melangkah masuk ketika itu, ada ceramah dari ustaz azief sedang bersuara di corong mikrofon. 

" Iman yang kuat dalam diri, menzahirkan yang di luar. Orang yang mempunyai ikatan iman yang kuat dalam jiwanya, akan menjadi sebuah pohon yang banyak cabang. Orang ini ada banyak cabang dakwahnya. Cabang dalam beribadat khusus seperti solat, bidang dakwah penyampaian, dalam memberi manfaat kepada orang lain. Mengajak rakan lain bersamanya berjuang. Ibadahnya sahih. Cara dia berinteraksi pada manusia lain, dan manusia lain itu tertarik dangan cara dakwahnya itu. Dia berjaya membina peribadi yang boleh digunakan untuk islam."

Airmata mengalir deras. Bagaikan jarum mencucuk-cucuk seluruh, segenap isi hati nuraninya. Begitu terasa sekali dirinya untuk hal seperti itu. Dia sungguh malu pada Allah.

" perumpamaan orang-orang yang memiliki iman kuat, peribadinya dianalogikan seperti batu bata yang disimenkan dan dikukuhkan dengan iman sebagai benteng pertahanan dakwah islam. Diri kita itu ibarat batu-bata. Peribadi islam bercerminkan model pendakwah yang terbaik.." suara ustaz masih melontarkan kata-kata penuh tajam menusuk hati. 

Rasa sakit dalam memperjuangkan Islam itu sendiri. Jatuh titisan air mata. Dibiarkan ia terus laju memancut. mencarik-carik isi keinsafan dalam diri. Tatkala ceramah menyebarkan kata-kata tentang perjuangan. Islam itu peru ditegakkan dalam diri sendiri dahulu. seperti sebuah rumah bermula dengan keutuhan sekecil batu bata. Begitu juga diri seorang insan yang mengaku berjuang untuk islam. Allah. Tiada apa mampu di katakan melainkan sebuah tangisan akan perjuangannya yang belum selesai.

Tidak habis di situ. Kulimin usrah setelah isyak berlangsung sekali lagi berkisarkan perjuangan seorang hamba di dalam keramaian insan yang dimana islam sudah tiada lagi di hatinya. Video di pasang oleh seorang naqibah. Kak Marina seolah utusan Allah membangkitkan semula isu perjuangan yang cuba dia hindari tatkala ini. Dia cuba untuk lari dari sebuah perjuangan. Dia mengeluh tidak mampu. Tangisannya berpanjangan sehingga liqo' pada malam itu. Seorang pemuda islam menerbitkan pula isu tentang perjuangan.

Liqo' bermula dengan surah Al-Imran, ayat 104. 
“ Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar merekalah orang-orang yang beruntung.”
"Mantapkan diri dan mantapkan pula orang sekeliling. Usaha daam diri, di luar juga menyusul. Biar berbeza bagaimanapun kamu tetap perlu berjuang. Wajib meneruskan perjuangan. "

Air mata tidak mampu diseka lagi. tanpa malu ianya tetap keluar, basah membuktikan sebuah perjuangan yang belum selesai. Allahu Allah. Dimana perjuangan? Baru terukir hatinya serasa ingin melarikan diri dari perjuangan itu.



12 oktober 2013
Detik demi detik yang ligat beraksi. Umpama mempersendakan diriku yang terdampar jatuh. Lemah longlai dan tidak bermaya lagi kerana jiwa menangis meratap tanpa henti. Gagal untuk memeluk bayang-bayang diriku sendiri, dalam pencarian yang penuh halangan berduri. Mampukah aku untuk terus kekal bertahan? Telah ku simpul mati segenap keazaman. sudah ku susun rapi segunung kesabaran. Aku cuba melakar pasti seteguh ketabahan. Cuba ku sulam seni seluruh keikhlasan. ku hias murni sepenuh keluhuran. Hati masih dalam keraguan. Mampukah aku untuk terus bertahan?

Ya Allah, hari-hari yang aku lalui semakin mencabar. Sungguh mencabar. Acapkali ku bisikkan, Mampukah aku menetapkan prinsipku? Mampukah aku untuk terus berdiri teguh di atas landasan yang lurus? Mampukah aku? Untuk menjadi gagak putih dalam kalangan gagak hitam memang sesuatu yang mustahil untuk dilakukan terutama bagi hamba Allah sepertiku. Terlalu banyak kelemahan. Namun ku tahu, untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa bukan sesuatu yang mustahil. Semua orang boleh buat termasuk AKU.

Ya Allah, tapi bagaimana? Berikanlah petunjuk-Mu. Sungguh ya Allah, aku benar-benar tertekan. Keadaan semakin rumit. Mampukah aku untuk terus menguatkan iman dalam kalangan teman-teman yang kurang menjaga pergaulan? Sungguh ya Allah, Aku benar-benar perlukan pertolongan daripada-Mu. Tetapi, mampukah aku untuk terus berdiri dengan penuh dedikasi? Mampukah? Kawad kaki sungguh merumitkan. Layangan tujuan hidupku tersasar sedikit teremosi kerananya. Aku insan lemah.

“ Mimi, kawad kena betul.”
“ Mimi, awak mesti buat. Jangan malas. semua orang sakit.”
“ Mimi, susah sangat ke? buat aje lah. Angkat kaki biar paras.”
" Mimi, buat bagus-bagus lah. kau nie.."

" Mimi, kau tak boleh buat lebih baik lagi ke?"
" Mimi, apa masalah kau sebenarnya? Orang lain boleh, asal kau tak boleh?"

Ayat serupa. Matlamat juga serupa. Matlamat untuk mengajar. Dan ini sering kali berulang, berulang dan berulang. Aku menjadi tertekan pula kerana terlalu ramai memberi arahan.

Ya Allah. Aku tidak kisah jika teman-temanku hendak memarahi kelemahan diriku. Tetapi aku sendiri tidak tahu mengapa setiap cubaanku terhasil hal yang sama. Dari kecil aku punya masalah pada kaki. Aku hampir putus asa untuk pelajaran ini. serasa diri ini patut keluar dari perjuangan ini. Aku tidak mampu untuk terus di sini. Aku terlalu banyak kelemahan. Aku menyusahkan mereka yang lain. Dimana perjuangan itu?

Ya Allah. Adakah aku terlalu malas berusaha? Atau mungkin juga aku terlalu memendam masalah kesihatan yang dari kecil ku alami? Semenjak kecil, aku masih ingati ejekan rakan-rakan tentangku. Kaki menjadi faktor utama. Aku tidak minta dilahirkan begini. Berhari-hari aku menangis. Dan yang menjadi pendengar setia ialah Engkau ya Allah. Lalu Engkau hentikan seketika ujian itu semasa aku di Matrik. Aku seringkali memakai kain. tertutup segala kelemahan itu. Dan apa yang aku risaukan sekarang ialah apabila kemasukan aku ke dalam Palapes. Ternampak jelas. Setiap kali itu aku terfikir, mampukah aku terus di sini.

Ya Allah, Kuatkanlah imanku untuk terus menegakkan syiar Islam di dalam palapes. Menjaga peribadiku sebagai seorang wanita Islam dalam kalangan teman-temanku yang kurang memahami ‘batas-batas pergaulan dalam Islam’. Kuatkanlah aku ya Allah. Kuatkan diriku, imanku, jasadku dan emosiku. Berikanlah petunjuk-Mu di setiap langkahku. Aku sangat memerlukan-Mu.

Ya Allah, Mencabar sungguh dunia-Mu ini ya Allah sehinggakan kadang kala aku juga seolah-olah ragu dengan rahmat-Mu. Terlalu mengharapkan pergantungan kepada manusia. Yang akhirnya akan mengundang kecewa. 
Sungguh ya Allah, hanya Engkau yang memahami perasaanku. Yang memahami isi hatiku. Kuatkanlah imanku. Bantulah aku untuk menguatkan imanku. Hanya Engkau yang dapat membantu aku. Aku tidak kuat untuk berdiri seorang diri tanpa adanya pertolongan daripada-Mu. Sangat benar kata pujangga,

“Seseorang yang cuba mendekatkan diri kepada Allah, akan terasa asing di tengah-tengah manusia.”

Dan kini ya Allah, aku sangat mengerti perkataan ‘asing’ itu… Sangat mengerti.

Ya Allah, Aku cuba untuk mengajak mereka ke jalan-Mu, tetapi ya Allah, payah sekali walau aku cuba berlembut, cuba mengajak mereka dengan cara yang halus. Aku cuba ya Allah, tetapi apakan dayaku, aku tidak berjaya. Aku tidak pandai dalam menerangkan keadaan lisan. Aku seringkali beremosi menyampaikan dakwah. Aku tidak layak menyertai perjuangan ini. Aku tiada ciri-ciri Qudwah hasanah. Aku sering membuat kesilapan. Islam dalam diri aku belum sepenuhnya tertegak. Imej islam yang aku bawa sungguh lemah. Mereka tidak dapat melihat perjuangan islam dalam diriku. 

Bila ada perdebatan tentang sesuatu, untuk mempertahankan islam itu seringkali aku termati kata. Aku terdiam sedangkan aku tahu jawapan. Namun ada masalah pada mulutku untuk berkata-kata. Aku sedari kecil memang bercita-cita menjadi sepetah orang lain. Tegak berkata-kata demi islam. Dimana Islam yang aku perjuangkan? Mungkin kerana aku terlalu banyak dosa dan terlalu banyak kelemahan. Maafkan aku ya Allah. Aku tidak sehebat Asiyah, tidak pula sekuat Sumayyah. Maafkan aku.

Ya Allah, hampir setiap hari kulihat kemungkaran berlaku di depan mataku. Di mana, memang Engkau, ya Allah meletakkan fungsi aku untuk menghidupkan Islam di dalamnya. Aku sedar amanah Allah memenuhi segenap ruang lingkup hidupku di sini. Namun m
ampukah aku untuk terus bertahan? Mampukah aku ya Allah. Aku benar-benar rasa keseorangan tanpa teman dalam perjuangan asing ini. Tiada seiapa boleh mengerti perjuangan yang aku cuba bawa ini. Terkadang aku terjatuh sendiri.

Ya Allah yang Maha Mengetahui. terkadang hari, aku sudah pandai tersenyum apabila ada lelaki-lelaki yang mengusik, ada lelaki-lelaki yang membuat lawak di depanku. Maafkan aku ya Allah. Ampunkan aku. Aku juga sangat kecewa dengan diri ini. Dan sebab itu, aku mula tertanya dan bertanya kepada diriku, mampukah aku? Mampukah aku untuk terus istiqomah dalam persekitaran seperti ini. Mampukah aku? Mampukah? Ya Allah, PadaMu ku berserah diri.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------

Mimi meletakkan pen, menutup diarinya. Fikirannya ligat memikirkan nasib saudaranya yang lebih sukar berbanding perjuangan yang dia alami, ada saudaranya diluar sana yang menderita akibat peperangan, kesusahan hidup, bencana alam dan sebagainya. Hanya doa yang mampu dikirimkan buat mereka. Allah SWT menguji mengikut kemampuan hambaNya, kerana Dia ingin memberi syurga kepada hambaNya.


Firman Allah SWT yang bermaksud.
“Apakah kamu menyangka akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu (ujian)sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu?mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan,digoncangkan(dengan bermacam-macam cubaan)sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”
(surah al-Baqarah 2:124)

Menghayati Firman Allah SWT, menjadikannya hatinya pantas menyelusuri sirah Rasullulah saw dan umat terdahulu,membuatkan dia tersedar.Banyak kesukaran yang dialami Baginda, sehingga akhirnya Allah memberi kejayaan dalam perjuangan Baginda. 
Rasul-rasul dan umat terdahulu juga melalui bermacam ujian tetapi sedikitpun tidak menghalang keimanan mereka,mereka terus kuat dalam berjihad dan berjuang di jalan Allah.



PertolonganNya akan tiba asalkan ada usaha, doa dan kesabaran. Apa yang pasti, Syurga yang abadi bakal menanti di akhirat nanti.

“Ya, Allah bertapa lemahnya aku”. Hati Mimi bermonolog sendirian. Ujian sedikit meyebabkan dia sudah terasa lemah. Jihad melawan hawa nafsu pun dia tidak sekuat mana. 
"Astagfirullah" dia kembali beristigfar mengenang kesilapannya. Mungkin ini perlu ditempuhi dirinya yang bergelar remaja di akhir zaman ini.

“Semoga semangat perjuangan kerana kekuatan iman mereka menjadi tauladan buat diriku" bisik hati Mimi. Dia nekad,ingin terus bersungguh-sungguh di jalan ini. Jalan menuju RedhaNya.

" Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar), dan (ingatlah), Allah maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu ". [surah At-Tagaabun, 11]


(sumber: Buku Memperbaharui Komitmen Dakwah by Muhammad Abduh)

"Meskipun kitalah yang benar, namun janganlah membesar-mebesarkan kelemahan dan kesalahan orang lain."